Pantun kanak-kanak
Timang tingi-tinggi,
Sampai cucur atap;
Belum tumbuh gigi,
Dah pandai baca kitab.
Pantun teka-teki
Dalam ladang ada kebun,
Dalam kebun ada cili;
Dalam batang ada daun
Dalam daun ada isi
Pantun nasib anak
Di mana padi tidakkan luluh,
Basah di rakit bawa ke tepi;
Di mana hati tidakkan runtuh,
Emak sakit ayah berbini.
Berbalas pantun
Jual
Beli baju di Singapura,
Beli selendang di mana tekatnya;
Berilah tahu kepada saya,
Kasih sayang di mana tempatnya.
Beli
Naik sampan dari Langkawi,
Alihkan tali tiang bendera;
Jangan tuan tidak ketahui,
Kasih di hati,sayang di mata.
Kesukaan berpantun
Angin ribut kencang di pulau,
Sampan kecil di timba ruang;
Sementara hidup kita bergurau,
Sudah mati tinggal seorang.
Lagu dondang sayang
Burung hantu melayang-layang,
Sibur-sibur terbang ke hulu;
Akulah lagu si dondang sayang,
Sudah termasyhur dari dahulu.
Gendang nobat gugup berbunyi,
Budak-budak memetik lagu;
Kalau tak sebab ada penyanyi,
Dondang sayang tak akan laku.
Pantun muda mudi
Dari mana pipit melayang,
Dari paya turun ke kali;
Dari mana terbitnya sayang,
Dari mata turun ke hati.
Mula berpandangan
Hari panas ribut berdengung,
Orang menjala bulan puasa;
Si cantik manis duduk termenung,
Hendak disapa belum biasa.
Merayukan harap
Berapa tinggi sipucuk pisang,
Tinggilah lagi pucuk meranti;
Berapa tinggi gunung melintang,
Tinggi lagi harapan di hati.
Sungguh sayang
Limau purut lebat ke pangkal,
Batang selasih condong uratnya;
Angin rebut dapat di tangkal,
Hati kasih apa ubatnya.
Paduan kasih
Buah mengkudu buah tempinis,
Tempinis tinggi di tepi hutan;
Gula dan madu ku sangka manis,
Manislah lagi senyuman tuan.
Terkenang kasih
Buah pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Tuan jauh di negeri satu,
Di mata hilang di hati jangan.
Kenangan
Asal kapas menjadi benang,
Sudah benang menjadi kain;
Sudah lepas jangan di kenang,
Sudah menjadi hak orang lain.
Berbudi
Kalau masanya bertanam padi,
Padi di bendang padi di huma;
Bukan bangsanya di tanam budi,
Kalau ditanam terbuang cuma.
Mati di tengah tengah
Di sini merak di sana merak,
Merak seekor di hujung tanduk;
Di sini hendak di sana hendak;
Badan seorang mana tertanggung.
Satu dalam banyak
Sungguh banyak bintang di langit,
Bulan juga terang cahaya;
Sungguh banyak yang cantik genit,
Puan juga di mata saya.
Mata keranjang
Baju layang kancing tembaga,
Pakaian hulubalang Melayu;
Mata panjang hati celaka,
Di mana pandang di situ mahu.
Surat memikat kekasih
Kalau puan pergi ke-Tanjung,
Dapatkah beli kain bertekat;
Kalau puan menjadi burung,
Saya menjadi benang pengikat.
Bermadu
Hendak ke mana ke Pulau Pinang,
Singgah sebentar di Telok Saga;
Bagaimana hati nak senang,
Sangkar sebuah burungnya dua.
Suami yang zalim
Bukan cempedak bukannya nangka,
Hanyut mengapung rapat ke tepi;
Tidak bertalak tidak berbelanja,
Hanya digantung tidak bertali.
Berubah hati
Anak punai anak merbah,
Burung merbah membuat sarang;
Anak sungai lagi berubah,
Inikan pula hati manusia.
Kasih tak jadi
Kalau padi katakan padi,
Jangan bidara dikata duku;
Kalau jadi katakan jadi,
Tidaklah saya tertunggu-tunggu.
Kasih jualan
Burung kekek burung di hutan ,
Terbang naik berlegar-legar;
Mari encik marilah tuan;
Barang baik baru keluar.
Kasih sedekah
Udang galah setali lima,
Kuala perak tidak berpantai;
Orang hadiah saya terima ,
Buaya tidak menolak bangkai.
Membawa hati
Buah berangan masaknya merah,
Kelakati dalam perahu;
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati siapa yang tahu.
Menanti
Kalau tuan pergi ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja;
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.
Menyesal
Apa dijual gula seberang,
Lagilah pekat gula dikampung;
Apa disesal kepada orang,
Sendiri buat sendiri tanggung.
Selamat tinggal
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita bertemu lagi.
No comments:
Post a Comment