Penggunaan frasa kerja aktif tak transitif
Kata kerja tak transitif berapitan ber…kan tidak boleh diikuti oleh kata sendi nama kerana akhiran -kan sudah merupakan singkatan kata sendi nama akan yang dapat mewakili kata sendi nama yang lain seperti pada,dengan,dan tentang.
Contoh ayat:
a) Cincinnya bertatahkan akan permata. SALAH
Cincinnya bertatahkan permata. BETUL
b) Berbekalkan pada semangat yang ada, dia meneruskan hidupnya. SALAH
Berbekalkan semangat yang ada dia meneruskan hidupnya. BETUL
Penggunaan frasa kerja aktif transitif
Frasa kerja aktif transitif tidak perlu disisipkan dengan kata lain antara kata kerja berkenaan dengan kata nama yang mengikutinya.
Contoh ayat:
a) Pihak ibu bapa sudah mengetahui tentang perkara itu. SALAH
Pihak ibu bapa sudah mengetahui hal itu. BETUL
b) Penduduk kampung akan mengetengahkan tentang cadangan itu kepada pihak atasan. SALAH
Penduduk kampung akan mengetengahkan cadangan itu kepada pihak atasan. BETUL
Penggunaan kata kerja pasif
Frasa kerja pasif ialah kata kerja yang berfungsi sebagai predikat dalam ayat pasif.Frasa kerja pasif diri pertama dan diri kedua perlu diletakkan di hadapan kata kerja tanpa imbuhan awalan di-.
Contoh ayat:
a) Majalah itu sudah dibaca oleh saya. SALAH
Majalah itu sudah saya baca. BETUL
b) Masalah itu perlu diselesaikan oleh anda. SALAH
Masalah itu perlu anda selesaikan. BETUL
c) Surat itu dibaca oleh kami? SALAH
Surat itu kami baca? BETUL
Kata-kata lain tidak boleh disisipkan antara kata ganti nama diri pertama dan kedua dengan kata kerja pasif.
Contoh ayat:
a) Majalah itu saya sudah baca. SALAH
Majalah itu sudah saya baca. BETUL
b) Surat itu kamu sudah baca? SALAH
Surat itu sudah kamu baca? BETUL
Frasa kerja pasif diri ketiga pula perlu diletakkan di belakang kata kerja dengan imbuhan di- dan kata sendi nama oleh.Oleh boleh dikekalkan atau digugurkan penggunaannya.
Contoh ayat:
a) Lauk itu ibu masak. SALAH
Lauk itu dimasak oleh ibu. BETUL
Lauk itu dimasak ibu. BETUL
b) Pokok durian itu ayah tanam. SALAH
Pokok durian itu ditanam oleh ayah. BETUL
Pokok durian itu ditanam ayah. BETUL
No comments:
Post a Comment