Ciriciri kebahagiaan & kemenangan seseorang hamba Allah itu adalah apabila ilmu pengetahuannya bertambah,bertambah pula kerendahan hati & kasih sayangnya.Setiap bertambah amalan soleh yang dilakukan,bertambah pula rasa takut & keprihatinannya dalam menjalankan perintah Allah.Ketika bertambah hartanya,bertambah pula kedermawan & pemberiannya pada sesama manusia.Jika bertambah tinggi kedudukannya,bertambahlah ketakwaannya pada Yang Maha Esa & semakin rendahlah hatinya.

Tuesday, January 25, 2011

KARANGAN JENIS PERBAHASAN

  1. Karangan jenis ini terbahagi kepada dua, iaitu perbahasan bentuk pertandingan dan perbahasan bentuk perbincangan.
  2. Pelajar perlu memilih satu aspek sahaja sama ada menyokong atau membangkang.
  3. Hujah perlu tepat,logik dan meyakinkan.
  4. Setiap hujah memerlukan huraian yang menunjukkan kematangan.
  5. Gunakan bahasa yang mudah, tepat, dan meyakinkan.
  6. Perbahasan berformat disampaikan dalam bentuk pertandingan.
  7. Pertandingan dimulakan dengan kata alu-aluan.
  8. Penyataan isi perlu disebut dengan perkataan “hujah saya yang ….”.
  9. Pencdang atau pembangkang pertama dikehendaki memberi takrif terhadap tajuk.Pencadang atau pembangkang pertama boleh membidas jika soalan meminta pelajar menjadi penggulung.
  10. Pencadang atau pembangkang kedua dan ketiga dimestikan menulis bidasan atau membidas hujah pihak lawan.

C0NTOH KARANGAN PERBAHASAN

TAJUK : Hukuman Merotan Patut Dilaksanakan Semula Di Sekolah
FORMAT : Perbahasan/ pembangkang

Salam sejahtera Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, saudara saudari pencadang yang saya hormati, serta para hadirin sekalian.

Saya, sebagai pemidato pertama ingin mengemukakan hujah-hujah saya bagi membangkang tajuk perbahasan pada pagi ini. Kami pihak pembangkang tetap tidak bersetuju dengan pernyataan “Hukuman Merotan Perlu Dilaksanakan semula bagi Mendisiplinkan Pelajar-pelajar.”

Panel hakim yang arif serta rakan-rakan seperjuangan sekalian,
Sebelum saya melanjutkan hujah-hujah saya, terlebih dahulu izinkan saya menjelaskan tajuk perdebatan kita pada hari ini. “Hukuman merotan” merujuk denda yang dilaksanakan di sekolah-sekolah, iaitu menyebat pelajar-pelajar yang melanggar peraturan sekolah. Antara salah laku yang dianggap melanggar peraturan sekolah ialah merokok, ponteng, bergaduh, merosakkan harta benda sekolah, dan pelbagai kesalahan yang lain. Lazimnya hukuman ini dijalankan secara terbuka iaitu di hadapan pelajar-pelajar yang lain ketika perhimpunan sekolah. Di samping itu terdapat juga hukuman merotan yang dijalankan secara tertutup. Pada hemat saya, hukuman ini agak keterlaluan dan ketinggalan zaman. Merotan pelajar-pelajar tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah disiplin pelajar-pelajar. Pelajar yang di rotan pasti akan memberontak atau berdendam. Seharusnya kita mengambil kira usia pelajar-pelajar tersebut. Dalam usia yang begitu muda, mereka perlukan bimbingan bukannya hukuman. Kami barisan pembangkang menganggap hukuman ini penuh dengan unsur kekejaman dan keganasan. Mahukah saudara saudari dan rakan pencadang dirotan kerana kesalahan-kesalahan seperti yang saya katakan tadi?

Barisan hakim yang bijaksana dan saudara saudari sekalian,
Hukuman merotan ini bukan sahaja menyakitkan malah memalukan dan menakutkan para pelajar. Pelajar-pelajar yang dirotan pasti akan berasa malu kepada rakan-rakan dan saudara-mara mereka. Mereka akan mengalami tekanan perasaan yang kuat. Adakah mampu bagi seorang pelajar menanggung beban perasaan seperti itu ? Saya pasti walaupun barisan pencadang tidak menganggukkan kepala tetapi jauh di lubuk hati, mereka tetap bersetuju dengan hujah saya ini. Ini kerana, peristiwa kena rotan pasti akan menghantui jiwa mereka dalam jangka masa yang lama. Mereka yang tidak dapat menanggung perasaan mungkin akan bertindak diluar dugaan kita. Akhbar tempatan pernah menyiarkan berita tentang seorang pelajar di Melaka yang membunuh diri kerana pihak sekolah memberitahu keluarganya yang dia dirotan. Mahukah kita mendengar tragedi seperti ini berulang lagi? Janganlah saudara saudari menghalalkan hukuman ini di sekolah-sekolah. Ingat saudara saudari, sekolah bukan tempat untuk menjatuhkan hukuman. Sekolah ialah tempat pelajar-pelajar dididik dan dibimbing untuk menjadi anggota masyarakat yang berguna. Oleh itu saya ingin menyanggah dengan sekeras-kerasnya pandangan negatif pencadang yang pertama tadi.

Para hakim yang saya muliakan serta para hadirin sekalian,
Saya berpendapat bahawa hukuman merotan ini akan menimbulkan masalah yang lebih serius. Kata pihak pencadang sebentar tadi, para pelajar yang dirotan pasti akan insaf akan perbuatan mereka dan oleh itu akan berkelakuan baik sepanjang masa. Namun, tidakkah saudara pencadang sedar bahawa terdapat juga kemungkinanpara pelajar yang dirotan mungkin akan bertindak balas? Mereka akan melakukan perkara-perkara yang lebih buruk.

Kereta guru akan menjadi sasaran. Ada kereta yang akan dicalarkan dan ada tayar yang akan dibocorkan oleh mereka. Apabila keadaan ini berlaku, keharmonian hubungan guru dengan murid akan menjadi tegang.

Lebih buruk lagi mereka akan bertindak liar merosakkan harta benda sekolah, umpamanya membakar harta benda sekolah atau lebih buruk lagi, membakar sekolah. Mahukah kita melihat pelajar-pelajar kita bertindak liar seperti ini? Apa yang pasti, hubungan guru-guru dengan para pelajar akan menjadi renggang. Perasaan hormat mereka terhadap para guru akan hilang. Guru-guru pula akan membenci pelajar-pelajar yang berkenaan. Sesungguhnya tiada manusia yang suka dirinya dizalimi walaupun dia bersalah. Hubungan renggang antara guru-guru dengan pelajar-pelajar pasti akan menjejaskan aktiviti pembelajaran dan pengajaran. Pelajar-pelajar yang terbabit pasti akan hilang minat untuk belajar. Akibatnya prestasi mereka dalam pelajaran pasti akan merosot. Inilah harga yang perlu dibayar oleh sistem pendidikan kita sekiranya hukuman merotan dilaksanakan di sekolah-sekolah.. Menyedari hakikat ini, saya dan rakan-rakan pembangkang tetap menyelar pandangan pihak yang saya anggap ‘selangkah ke belakang’.

Tuan-tuan hakim yang saya hormati serta rakan-rakan sekalian,
Dalam zaman yang serba canggih ini saya berpendapat hukuman ini sudah ketinggalan zaman. Di negara-negara maju yang lain, hukuman ini sudah lama dilenyapkan. Saya tidak mahu menyalahkan pihak pencadang yang mungkin terlalu asyik belajar sambil mentelaah buku teks sehingga lupa membaca akhbar dan majalah. Kita harus mempraktikkan kaedah yang lebih saintifik dan berperikemanusiaan. Beberapa sesi kaunseling yang berkesan pasti akan dapat menyedarkan para pelajar yang bersalah akan kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Sebelum kita mengenakan hukuman, kita perlu membuat penyiasatan yang terperinci. Latar belakang para pelajar yang berkenaan perlu diambil kira. Menghukum dengan sewenang-wenangnya akan meninggalkan implikasi buruk yang sukar dilupakan. Anak-anak zaman sekarang tidak sepatutnya didedahkan dengan unsur-unsur keganasan. Para guru perlu mengkaji punca-punca berlakunya perbuatan-perbuatan yang melanggar disiplin sekolah. Menangani masalah disiplin secara bersopan dan berhemah pasti akan membuahkan hasil yang positif. Pelajar-pelajar perlu dinasihati dan dibimbing dengan sebaik mungkin. Kita harus menerima hakikat bahawa fikiran mereka masih belum matang dan mereka memerlukan tunjuk ajar. Merotan mereka hanya akan melenyapkan keyakinan mereka terhadap guru-guru. Oleh yang demikian saya sekali lagi menegaskan bahawa hukuman merotan hanya akan mencederakan pelajar-pelajar dari segi fizikal dan emosional. Hakikatnya, hukuman ini tidak harus dilaksanakan di sekolah-sekolah pada masa kini.

Hadirin sekalian,
Oleh sebab masa tidak mengizinkan saya untuk berhujah lebih lanjut maka saya mohon untuk berundur diri seketika namun rakan seperjuangan saya pasti akan menyambung hujah-hujah kami. Walau bagaimanapun, saya tetap menegaskan, hukuman merotan tidak patut dilaksanakan di sekolah-sekolah bagi mendisiplinkan pelajar-pelajar.

Sekian, terima kasih.

5 comments:

  1. pembangkang dengan pernyataan hukuman buang sekolah tidak relevan lagi kini

    ReplyDelete
  2. menyakitkan hati je baca benda ni..sbb kena rotan la aku jadi manusia..budak zaman sekarang ni manja tak bertempat..

    ReplyDelete